Tuesday 2 May 2017

Minit Mesyuarat Pegawai Insaniah 17/02

Tarikh: 1 Mei 2017 (Isnin)
Masa: 8.00 malam
Jumlah kehadiran: 12 pegawai

1. Ucapan Pengerusi

1.1 Uthaya Sankar SB selaku Pengerusi mengalu-alukan para Pegawai Insaniah yang menyertai mesyuarat kali ini (17/02) serta mengucapkan terima kasih atas komitmen berterusan yang diberikan.

1.2 Pengerusi memaklumkan bahawa aktiviti Insaniah masih secara kerjasama dengan pelbagai pihak, tetapi hal ini tidak menjadi masalah kerana usahasama ini membawa kebaikan kepada setiap pihak terbabit.

2. Pembentangan Minit Mesyuarat Lalu

2.1 Prabhawathy Govindarajoo selaku Setiausaha membentangkan Minit Mesyuarat 17/01 bertarikh 1 Februari 2017 untuk diluluskan.

2.2 Minit mesyuarat berkenaan disahkan sebulat suara oleh semua Pegawai Insaniah yang telah menghadiri mesyuarat itu.

3. Pengesahan Ahli Baharu

3.1 Setiausaha memaklumkan bahawa tidak ada sebarang permohonan keahlian baharu diterima. Jumlah keahlian sehingga kini kekal 16 orang.

4. Pembentangan Laporan Kewangan

4.1 Adam Arokia Ammaradass selaku Bendahari membentangkan laporan kewangan bagi 1 Februari – 30 April 2017 untuk diluluskan.

4.2 Sehingga 30 April 2017, jumlah wang terkumpul tidak berubah kerana tiada apa-apa wang masuk dan wang keluar sejak mesyuarat lalu.

5. Pembentangan Laporan Aktiviti

5.1 Pengerusi melahirkan rasa puas hati dengan komitmen dan kerjasama para Pegawai Insaniah dalam merancang dan menjayakan pelbagai aktiviti bagi tempoh dari 1 Februari hingga 30 April 2017

5.2 Kebanyakan aktiviti Insaniah adalah secara kerjasama, khususnya dengan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama (Sangam) dan Pusat Kebudayaan India (ICC).

5.3 Pegawai Insaniah terlibat dalam membantu menjayakan program Bengkel Keluarga Harmoni di Aulong Lama, Taiping pada 11 Februari 2017.

5.4 Pegawai Insaniah terlibat dalam membantu menjayakan program Penghayatan Bahasa dan Sastera di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 26 Februari 2017.

5.5 Pegawai Insaniah terlibat dalam membantu menjayakan Bengkel Mencungkil Kreativiti di Aulong Lama, Taiping pada 11 Mac 2017.

5.6 Pengerusi Insaniah memenuhi undangan Suganthi Manivelu untuk mengendalikan Bengkel Pengucapan Awam Berkesan di Sekolah Menengah Kebangsaan Miharja, Kuala Lumpur pada 15 April 2017. Bengkel ini selaras cadangan Suganthi Manivelu dan V. K. Ezhilarasi Velautham @ Krishnan pada mesyuarat lalu.

5.7 Pegawai Insaniah terlibat dalam membantu menjayakan Bengkel Komunikasi Awam Berkesan di Pusat Kebudayaan India, Brickfields pada 26 Mac 2017.

5.8 Pegawai Insaniah terlibat dalam membantu menjayakan program Bakat Seni dan Budaya Masyarakat Malaysia di Pusat Kebudayaan India, Brickfields pada 16 April 2017.

5.9 Pegawai Insaniah terlibat dalam membantu menjayakan Bengkel Memperkasakan Wanita di Aulong Lama, Taiping pada 29 April 2017.

6. Cadangan Aktiviti Akan Datang

6.1 Mesyuarat bersetuju untuk terus bekerjasama dengan Kavyan, Sangam, ICC, dan sebagainya; jika melibatkan program kemahiran insaniah.

6.2 M. Vanitha Murugan diminta mengemukakan maklumat lanjut berhubung cadangan Seminar Motivasi bagi remaja kaum India pada mesyuarat akan datang.

6.3 Aktiviti pada Januari/Februari 2018 sempena Mesyuarat Agung Tahunan Insaniah. Pada mesyuarat lalu, V. K. Ezhilarasi Velautham @ Krishnan telah mencadangkan aktiviti berbentuk gramotsavam, iaitu acara santai berbentuk didik hibur yang menggabungkan seni, budaya dan permainan tradisional kaum India. Pengerusi mencadangkan supaya program ini dilaksanakan di Taiping, Perak dengan kerjasama Kavyan, Sangam, Kuil Sri Maha Sivalayam Aulong, dan Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang. V. K. Ezhilarasi diminta membentangkan perancangan lanjut aktiviti ini pada mesyuarat akan datang (Ogos 2017).

6.4 Para pegawai yang mempunyai sebarang cadangan aktiviti diminta mengemukakannya dalam mesyuarat akan datang.

7. Hal-hal Berbangkit

7.1 Pengerusi membuka peluang kepada para Pegawai untuk membincangkan hal-hal lain yang tidak termasuk dalam agenda di atas, tetapi dirasakan perlu dibincangkan segera. Bagaimanapun, tiada sebarang hal-hal berbangkit untuk dibincangkan.

8. Penangguhan Mesyuarat

8.1 Para Pegawai bersetuju supaya Mesyuarat Pegawai Insaniah seterusnya diadakan pada 1 Ogos 2017, pukul 8:00 malam.

8.2 Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 10:00 malam.