Wednesday 2 August 2017

Minit Mesyuarat Pegawai Insaniah 17/03

Tarikh: 1 Ogos 2017 (Selasa)
Masa: 8.00 malam
Jumlah Kehadiran: 12 pegawai

1. Ucapan Pengerusi

1.1 Uthaya Sankar SB selaku Pengerusi mengalu-alukan para Pegawai Insaniah yang hadir ke mesyuarat kali ini (17/03) serta mengucapkan terima kasih atas komitmen yang diberikan.

2. Pembentangan Minit Mesyuarat Lalu

2.1 Prabhawathy Govindarajoo selaku Setiausaha membentangkan Minit Mesyuarat 17/02 bertarikh 1 Mei 2017 untuk diluluskan.

2.2 Minit mesyuarat disahkan sebulat suara oleh semua Pegawai Insaniah yang hadir.

3. Pengesahan Ahli Baharu

3.1 Setiausaha memaklumkan bahawa tidak ada sebarang permohonan keahlian baharu diterima.

4. Pembentangan Laporan Kewangan

4.1 Adam Arokia Ammaradass selaku Bendahari membentangkan laporan kewangan bagi 1 Mei – 31 Julai 2017.

4.2 Jumlah wang terkumpul tidak berubah kerana tiada apa-apa wang masuk dan wang keluar sejak mesyuarat lalu.

5. Pembentangan Laporan Aktiviti

5.1 Pengerusi memaklumkan bahawa Insaniah terus bekerjasama berkongsi kepakaran dan kemahiran dalam menjayakan beberapa program bersama-sama pihak lain.

5.2 Aktiviti bulanan adalah Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, Taiping, Perak dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama (Sangam), dan Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang, Perak (Kelab Kesedaran).

6. Cadangan Aktiviti Akan Datang

6.1 Mesyuarat bersetuju untuk terus bekerjasama dengan Kavyan, Sangam, Kelab Kesedaran, dan sebagainya; jika melibatkan program kemahiran insaniah.

6.2 Aktiviti pada 17 Februari 2018 sempena Mesyuarat Agung Tahunan Insaniah. V. K. Ezhilarasi Velautham dan Suganthi Manivelu menerangkan cadangan aktiviti berbentuk gramotsavam, iaitu acara santai berbentuk didik hibur yang menggabungkan seni, budaya dan permainan tradisional kaum India. Program ini akan dilaksanakan di Aulong Lama, Taiping, Perak dengan kerjasama Kavyan, Sangam, Kuil Sri Maha Sivalayam Aulong, dan Kelab Kesedaran. Pengisian yang dicadangkan termasuk kabaddi, gasing, congkak, kummi, kol, tarian singa, joget, kolattam, karagattam, gendang, urumi dan sebagainya. Insaniah tidak ada peruntukan untuk membawa peserta (pelajar) dari luar ke Taiping. Bagaimanapun, peserta luar boleh turut serta atas tanggungan sendiri.

6.3 Para pegawai yang mempunyai sebarang cadangan aktiviti diminta mengemukakannya dalam mesyuarat akan datang.

7. Hal-hal Berbangkit

7.1 Pengerusi membuka peluang kepada para Pegawai untuk membincangkan hal-hal lain yang tidak termasuk dalam agenda di atas, tetapi dirasakan perlu dibincangkan segera. Bagaimanapun, tiada sebarang hal berbangkit untuk dibincangkan.

8. Penangguhan Mesyuarat

8.1 Para Pegawai bersetuju supaya Mesyuarat Pegawai Insaniah seterusnya diadakan pada 1 November 2017, pukul 8:00 malam.

8.2 Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 10:00 malam.